Tuesday, 9 October 2012

“Laporan Harian Berhubung Program Pertukaran Pelajaran Ke Indonesia


Jumaat, 18 Mei 2012,
Waktu yang dinantikan telah tiba.


Kami bertolak ke Jakarta.  Waktu penerbangan kami adalah pukul 11.30 malam. Kami dihantar oleh teman-teman sekursus kami.Kami sempat bergambar secara beramai-ramai sebelum berangkat.

Sabtu, 19 Mei 2012

Indonesia mengubah persepsi kami.




Tepat jam 12.30 pagi waktu Indonesia, kami sampai ke lapangan terbang antarabangsa Sukarno-Hatta. Kami bercadang ke Bandung untuk bersiar-siar kerana program kami di Sekolah Tinggi Ilmu Administrasi Mandala Indonesia (STIAMI) bermula pada 21 Mei. Namun, kami terkejut kerana sejurus sahaja selesai urusan imigresen, kami  nampak dua orang pemuda menanti di ruangan menyambut tetamu dengan memegang kertas A4 yang bertulis MAHASISWA UNIKL.


 Rupa-rupanya, kehadiran kami memang dinantikan oleh mereka. Mereka merupakan staf-staf daripada STIAMI. Dua pemuda itu bernama Pak Dedy dan Pak Doni. Terdapat seorang lagi yang turut serta iaitu Pak Reda. Pak Reda merupakan salah seorang ‘chairman’ STIAMI. Kami berkenalan dengan mereka. Kemudian Pak Reda membawa kami ke Restoran KFC untuk makan malam dan memberikan sedikit taklimat berhubung dengan tentatif program di STIAMI. Setelah itu, kami dibawa ke bilik penginapan kami yang terletak di Cempaka Putih Barat, Jakarta. Bilik kami terletak lebih kurang 5-7 km daripada kampus STIAMI.




Jam 8.30 pagi, datang dua orang staf STIAMI ke bilik pelajar perempuan. Mereka adalah Ai dan Handini. Mereka akan menjadi ‘tour guide’ kami di Indonesia. Program kami hari ini adalah bersiar-siar di Monas dan Masjid Istiqlal. Kami ke sana bersama Ai, Handini dan Pak Widi. Pak Widi merupakan salah seorang pensyarah di STIAMI. Kami bergerak ke Monas menaiki van STIAMI.

 Sepanjang perjalanan kami menyaksikan Bandar Jakarta yang kami rasa agak maju namun terdapat juga rakyatnya yang bersusahan menolak kereta roda untuk menjual makanan dan minuman. Sekitar Monas itu terdapat banyak bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan. Monas diambil daripada perkataan Mo dan Nas. Mo merujuk kepada Monumen dan Nas merujuk kepada Nasional. Monumen Nasional (Monas) ini mula dibangunkan oleh Presiden Indonesia yang pertama iaitu Sukarno pada tahun 1975.




 Ia dibangunkan untuk mengenang pertempuran dan perjuangan rakyat Indonesia bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Belanda. Tugu ini dihiasi simbol api yang dilapisi lembaran emas sebanyak 38 kg yang melambangkan semangat perjuangan yang menyala-nyala rakyat Indonesia.  Kami  turut bergambar di situ sebagai kenang-kenangan. Selepas itu kami menuju ke Masjid Istiqlal yang terletak berhampiran dengan Monas. Kami menunaikan solat zuhur jamak asar di situ. Masjid Istiqlal sangat besar, ia merupakan masjid terbesar di Asia tenggara. Masjid ini boleh menampung lebih daripada 100,000 jemaah pada satu masa. Besar dan unik bukan menjadi ukuran sesebuah masjid. Masjid Istiqlal ini sangat mendamaikan kami. Suasananya tenang dan indah.


 Namun, kedamaian dan keindahan ini dicemarkan oleh segelintir peminta sadaqah yang kami kira mereka adalah sindiket. Kami berharap agar Indonesia juga negara tercinta kami Malaysia dapat membasmi sindiket peminta sedeqah ini. Selepas solat, kami ke restoran masakan padang untuk menjamu selera. Setelah itu kami pulang ke bilik penginapan masing-masing untuk istirehat.


 Malamnya pula, kami dibawa ke
Bebek Kaleyo yang terletak di Jakarta Timur untuk makan malam. Pelanggan di sini cukup ramai kerana makanan disini enak-enak. Antara menu yang popular ialah bebek bakar dan bebek goreng. Terdapat juga ayam penyet, jus buahan asli dan sup buah. Kami amat terkesan dengan keenakan makanan di sini.


Apa yang penting hari ini adalah persepsi  kami tentang Indonesia berubah secara total. Perasaan yang mulanya takut dan sentimen-sentimen anti Indonesia berubah sama sekali. Kami mula jatuh cinta dengan negara jiran ini. Mengapa kita perlu bergaduh sesama sendiri? Kita (Malaysia dan Indonesia) adalah negara serumpun. Kami merasakan hubungan antara Malaysia dan Indonesia perlu diperbaiki agar rakyat di kedua-dua negara ini dapat hidup dalam keadaan aman, makmur dan harmoni. Slogan-slogan ‘Ganyang Malaysia’dan ‘Ganyang Indonesia’ perlu diubah kepada slogan ‘Sayang Malaysia Saya Indonesia’.




2 comments: