Friday, 20 June 2014

Laporan Harian Berhubung Program Pertukaran Pelajaran Ke Indonesia Edisi ke Tiga



Isnin, 21 Mei 2012




Pembelajaran di STIAMI amat menyeronokkan.



Pagi Isnin jam 7.00 pagi, kami semua bersiap untuk dijemput ke kuliah. Perasaan kami amat seronok kerana ini merupakan hari pertama kami menjejakkan kaki ke kampus STIAMI. Jam 8.00 pagi waktu Indonesia, kami dijemput oleh staf STIAMI dan dibawa ke kampus. Sepanjang perjalanan ke kampus, kami dapat melihat bertapa sesak dan padat nya Jakarta pada waktu pagi. Akan tetapi, sistem jalan raya mereka sangat kami kagumi.


 Sifat tolak ansur dan saling menghormati antara mereka harus di contohi oleh rakyat Malaysia. Kira- kira jam 8.30 pagi kami tiba di STIAMI. Ketibaan kami Mahasiswa Malaysia di sambut dengan mesra dan ramah oleh staff, pensyarah dan juga pelajar STIAMI. Kedatangan kami juga diraikan dengan majlis pembukaan dan perasmian Pertukaran Pelajar UniKL ke STIAMI. Turut serta di majlis perasmian itu adalah Dr Razak selaku wakil pensyarah dari UniKL.


 Setelah tamat majlis perasmian, Dr Razak pulang dan berpesan kepada kami supaya menjaga diri sepanjang di Jakarta. Kami merasa sangat teruja diatas layanan yang diberikan oleh pihak UniKL yang sentiasa mengambil berat dan juga layanan yang diberikan oleh pihak STIAMI. Selepas itu, kami diberi masa untuk berkenalan dengan Perwakilan Pelajar STIAMI. Ketua pelajar STIAMI iaitu Ilham banyak memberitahu kami mengenai STIAMI. STIAMI merupakan kampus swasta dan ianya mempunyai biasiswa bagi pelajar yang cemerlang di dalam pelajaran.


Visi STIAMI adalah untuk menjadi perguruan tinggi swasta unggul,berkualitas dan terbaik. Misi STIAMI pula ialah untuk melaksanakan pendidikan bernuansa humanis yang berorientasi kepada pendidikan,penelitian,pengabdian masyarakat, yang bermandiri dan berkualitas, beriman dan bertaqwa. Mereka bermotto untuk membangun intelektual dengan integritas moral & etika.
Yuran pendaftaran di STIAMI di anggarkan dalam 10 juta rupiah per semester. Fakulti yang ditawarkan di STIAMI adalah Perpajakan (percukaian) dan Perniagaan.



Selepas itu, kami semua menunaikan solat Zuhur dan selepas itu kami di suruh masuk kuliah. Kuliah pertama iaitu mengenai Kewangan Syariah. Pensyarah atau Dosen yang mengajar iaitu Prof. Dr Joseph. Beliau merupakan seorang pensyarah yang bagus dan kami juga dapat memahami setiap apa yang beliau sampaikan di dalam kuliah. Alhamdulillah, setiap soalan yang di tanyakan dapat kami menjawabnya dengan baik. 



Setelah tamat kelas, Prof Dr Joseph sempat berjumpa kami dan memberitahu kami jika ingin bertanya apa sahaja soalan boleh terus berhubung dengannya melaui email. Beliau juga merupakan rakan kepada Assc Prof. Dr Kamisan, salah seorang pensyarah kami di UniKL. Selepas tamat kelas pertama, jam 4.00 ptg kami masuk ke kuliah yang kedua iaitu kelas Pak Widi iaitu kelas Pengurusan Perniagaan. Pak Widi merupakan penulis buku mengenai Pengurusan Perniagaan. Pada waktu kelas, beliau ada membawa buku yang beliau tulis namun hanya ada dua buah buku sahaja.


 Jadi beliau memberi rambang dengan menyebut bulan kelahiran dan pelajar Malaysia yang bertuah mendapat buku itu ialah Zaid Harithah B. Zainulabid dan juga Nur Atiqah Bt. Zulkafli. Pak Widi tidak sempat mengajar kami  kerana masa yang singkat. Akan tetapi beliau mengajar kami cara untuk mengetahui kelemahan dan kelebihan yang ada dalam diri.

Apa yang membuatkan kami tertarik di STIAMI ini ialah cara pengajaran oleh pensyarah mereka. Mere menggunakan konsep motivasi untuk menaikkan semangat para mahasiswa untuk menggali sebanyak ilmu yang boleh. Aktiviti ini amat menyeronokkan. Kami termotivasi dan berazam untuk berjaya dalam hidup. Selepas jam 5.00 ptg, kami di hantar pulang ke penginapan untuk berehat. Jam 8.00 mlm, kami semua keluar untuk makan malam. Jam 11.00 mlm, kami pulang ke penginapan dan tidur awal kerana keesokkan hari kami harus ke Parlimen Indonesia.


Laporan Harian Berhubung Program Pertukaran Pelajaran Ke Indonesia Edisi ke Dua



Ahad, 20 Mei 2012


Indahnya manusia terletak pada budi bahasanya.











Program kami hari ini juga bersiar-siar di sekitar Jakarta. Kami memulakan perjalanan kami ke



Taman Mini Indonesia Indah (TMII) yang terletak di Jakarta Timur.

TMII merupakan satu kawasan taman wisata bertemakan budaya Indonesia. Area TMII itu melangkaui 150 hektar. Taman ini merupakan rangkuman kebudayaan bangsa Indonesia, yang mencakup berbagai aspek kehidupan seharian masyarakat 26 provinsi Indonesia yang ditampilkan dalam seni bina tradisional, seta menampilkan aneka busana, tarian dan tradisi daerah. 

Disamping itu, di tengah-tengah TMII terdapat sebuah danau yang menggambarkan susunan kepulauan Indonesia di tengahnya, kereta gantung, museum, dan Teater IMAX Keong Mas dan Teater Tanah Airku, dan taman rekreasi . Ini menjadikan TMIII sebagai salah satu kawasan wisata terkemuka di ibu kota. Sebelum kami meneruskan perjalanan, kami diperkenalkan dengan Pak Agus dan Pak Rusdi. Pak Agus merupakan rektor 3 STIAMI manakala Pak Rusdi merupakan staf pemasaran di STIAMI. Mereka lah yang menemani kami. 


Mereka membawa kami ke warung Soto Kudus milik kenalan Pak Agus untuk bersarapan. Sotonya enak dan mengiurkan. Selepas itu kami di bawa menaiki kereta gantung untuk melihat seluruh Taman Mini itu. Kereta gantung itu dikenali kereta kabel di Malaysia. Pemandangan dari atas sangat indah. Kami dapat menikmati keindahan rumah-rumah tradisional, replika pulau-pulau di Indonesia dan lain-lain lagi. Selepas kereta gantung, kami sempat melihat rumah tradisi masyarakat padang.

Atas kesuntukan masa, kami tidak dapat ke rumah-rumah tradisi yang lain.Di rumah masyarakat Padang, kami sempat bergambar dan belajar sedikit sebanyak tentang tradisi masyarakat Padang. Setelah itu, kami dipelawa ke Museum Komodo. Kami ke sana untuk melihat binatang unik yang diberi nama komodo. Kelihatan Komodo seperti biawak besar. Namun, Komodo ini merbahaya kerana air liurnya dikatakan mampu melumpuhkan mangsa dengan cepat. Di musium ini juga kami dapat bemesra dengan biawak dan ular jinak. 


Setelah puas bersiar-siar kami dipelawa oleh Pak Agus untuk menjamu makan tengah hari di rumahnya. Setelah itu, kami dibawa ke kota cina yang terletak berhampiran dengan rumah Pak Agus. Kami tidak lama disitu kerana kami perlu ke Taman Wisata Mekarsari. Taman Wisata Mekarsari merupakan salah satu pusat buah-buahan tropika terbesar di dunia, khususnya jenis buah-buahan unggul yang dikumpulkan dari seluruh daerah di Indonesia

. Di sana kami dibawa jalan-jalan melalui kebun buahan-buahan yang indah dengan menaiki mini bus yang disediakan. Terdapat jurucakap yang menerangkan maklumat tentang buah-buahan di situ. Kami juga dapat menjamu buahan segar terus dari pokok yang rasanya enak dan segar. Setelah itu kami diberi cenderahati daripada Taman Wisata Mekarsari sebagai kenang-kenangan. Apabila matahari melabuhkan tirainya, kami dibawa ke restor sate kambing untuk menikmati sate kambing segar di situ. Setelah itu, kami pulang ke bilik penginapan masing-masing untuk beristirehat.



Kesopanan dan keluhuran layanan daripada pihak STIAMI ini membuatkan kami merasa diri ini dihargai. Kami juga dapat merasakan jikalau seluruh Malaysia dan Indonesia dapat berakhlak sepertimana yang ditunjukkan oleh pihak STIAMI, maka kedua-dua negara ini akan bertambah maju dan bertamadun.


 Teori Ibnu Khaldun yang mengatakan bahawa Negara bertamadun itu terletak kepada pembangunan fizikal dan rohani (akhlak) itu dapat direalisasikan oleh Malaysia dan Indonesia.